Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) berpendapat nilai pasaran salah seorang pemain sayap pasukannya, Arif Aiman akan meningkat naik setelah menampilkan prestasi cemerlang musim ini.

Dalam satu wawancara bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, TMJ mengulas mengenai kejayaan JDT yang mempertahankan kejuaraan Liga Super buat musim ke-10 berturut-turut selain memenangi Piala FA dan berada dalam landasa tepat untuk memenangi Piala Malaysia.

Arif menjadi salah satu watak utama dalam kejayaan skuad Harimau Selatan itu musim ini dan TMJ percaya nilai pasaran pemain itu akan meningkat naik.

Arif Aiman
Sumber Gambar: AFC

“Sudah tentu nilai dia akan naik lebih tinggi. Saya rasa dia berada dalam kedudukan yang betul kerana dia bukanlah seorang pemain yang mempunyai kontroversi, dia fokus dalam kerja dia. Disiplin dan tidak membuat perangai yang bukan-bukan.

“Kalau dia boleh kekalkan sikap sebegini, saya rasa dia boleh pergi sangat-sangat jauh,” kata TMJ.

Musim ini, Arif Aiman sudah menjaringkan 17 gol dalam semua kejohanan musim ini dan pemain berusia 21 tahun itu sudah menjaringkan 2 gol dalam saingan AFC Champions League (ACL).

Sebelum ini, terdapat laporan yang mengatakan salah sebuah kelab yang beraksi dalam saingan Liga Cyprus berminat untuk mendapatkan pemain kelahiran Pahang ini.

Dalam satu wawancara, pencari bakat Malaysia di Sepanyol bersama Velez FC, Qayyum Shaharuddin menyatakan kelab yang dimaksudkan ada bertanya mengenai Arif kepada beliau.

“Sebelum mereka (kelab Cyprus) itu berhubung dengan saya, mereka sudah pun mengetahui tentang Arif. Mereka tahu tentang Malaysia sebab Arif Aiman.”

“Saya pun memberikan laporan ringkas mengenai Arif tentang corak permainan, kelebihan dan kekurangan Arif dan mereka itu yakin bahawa Arif memiliki profil yang sesuai dengan permainan pasukan,” jelasnya.

Prestasi cemerlang yang ditampilkan oleh Arif ketika perlawanan kedua peringkat kumpulan saingan ACL menentang BG Pathum United nyata turut mendapat perhatian peminat bola sepak Thailand.

Selepas perlawanan, salah seorang peminat di laman media sosial X menyatakan beliau mahu melihat Arif untuk beraksi di saingan Liga Jepun dalam tempoh masa dua hingga ke tiga tahun lagi.